Search

PRK Kinabatangan, Lamag: BN kekal di kedua-dua kerusi

January 24, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kedua-dua kerusi itu pada Sabtu.

Calon BN, Mohd Naim Kurniawan Moktar dan Mohd Ismail Ayob atau Miha masing-masing menang di kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Mohd Naim menang dengan majoriti 14,214 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Beliau memperolehi 19,852 undi berbanding pencabar terdekatnya, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) yang memperolehi 5,638 undi dan Goldam Hamid (Bebas) dengan 946 undi.

Di kerusi DUN Lamag pula, Miha menang dengan majoriti 5,681 undi setelah mendapat 7,269 undi berbanding lawannya, Mazliwati Abdul Malek (Warisan) yang memperolehi 1,588 undi.

PRK di kedua-dua kerusi itu itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.

Bekas Ketua UMNO Sabah itu sebelum ini mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selama enam penggal, manakala penggal kedua di DUN Lamag menerusi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November lalu.

Berikutan pemergian Bung Moktar, kedua-dua kerusi diisytihar kosong sebelum PRK diadakan dan anak Allahyarham dinamakan sebagai calon di kerusi Parlimen Kinabatangan, manakala Miha yang juga bekas calon Bebas di kerusi DUN Lamag pada PRN17 dicalonkan mewakili BN di kerusi DUN berkenaan. – Info X