Search

PM ucap tahniah kemenangan BN di Kinabatangan, Lamag

January 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang berlangsung semalam.

Menurut beliau, keputusan tersebut mencerminkan keyakinan berterusan rakyat terhadap usaha, khidmat serta komitmen yang telah ditunjukkan oleh BN, khususnya di peringkat akar umbi.

Anwar berkata, kemenangan itu perlu ditanggapi dengan penuh rasa tanggungjawab kerana ia merupakan satu amanah rakyat yang menuntut kepimpinan berintegriti, penyampaian khidmat yang berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan.

“Kerajaan MADANI akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan bagi memastikan pembangunan di Sabah dapat terus diperkukuh, kesejahteraan rakyat dipelihara serta agenda MADANI dapat direalisasikan dengan tekad bersama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag, Mohd Ismail Ayob atas kemenangan tersebut.

Dalam pada itu, Anwar turut mendoakan agar legasi khidmat dan kepimpinan allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin terus dipelihara dan diteruskan demi kepentingan rakyat setempat. – Info X