Search

Roger Yapp umum letak jawatan Ketua Pemuda MCA Sabah

January 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda MCA Sabah, Roger Yapp mengumumkan peletakan jawatannya dan semua jawatan lain dalam parti itu, berkuatkuasa serta merta.

Menerusi satu kenyataan pada Ahad, Roger berkata keputusan itu diambil bukan disebabkan kepentingan diri, emosi atau takut, sebaliknya beliau mahu menukar cara perjuangan.

Katanya, beliau juga akan terus bersuara dan bekerja untuk rakyat Sabah dan berharap semua pihak memberikan sokongan serta semangat kepada anak muda Sabah.

“Saya mengucapkan terima kasih pimpinan MCA, khasnya kepada Presiden, Datuk Seri Wee Ka Siong; Ketua Pemuda MCA, YB Ling Tiang Soon dan mantan SUA, Datin Paduka Chew Mei Fun yang pernah memberikan peluang dan kepercayaan kepada saya.

“Dengan itu, saya secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda MCA Sabah dan semua jawatan dalam parti dengan serta merta.

“Keputusan ini dibuat bukan atas kepentingan diri saya, bukan sebab emosi, bukan sebab takut. Melepaskan jawatan bukan hentikan perjuangan, cuma saya mahu tukar cara.

“Saya akan terus bekerja untuk rakyat dan masyarakat Sabah. Niat dan prinsip saya juga tidak pernah berubah, saya akan terus bersuara dan bekerja untuk rakyat Sabah.

“Dengan itu saya mohon agar semua berikan sokongan dan semangat kepada anak-anak muda Sabah dan saya berharap kita maju bersama-sama,” katanya.

Katanya, walaupun keputusan itu adalah sesuatu yang berat baginya, namun beliau sudah bertekad untuk meneruskan perjuangan dengan cara lain.

Sementara itu, Roger mengucapkan tahniah kepada Mohd Kurniawan Naim Moktar berikutan kejayaannya memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada Sabtu.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan berikutan kematian ayah Naim, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu selaku penyandang kedua-dua kerusi itu.

Roger yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Pengerusi BN Sabah di bawah arwah Bung Moktar, berkata Allahyarham pernah berpesan kepadanya untuk membantu Naim jika dia menjadi calon.

“Itu sebab selama 14 hari berkempen, saya bersama dengan Naim di Kinabatangan, kami turun naik perahu, mendaki bukit, siang malam menziarahi rakyat dari kampung ke kampung.

“Ada masanya saya merasa tekanan dan bimbang terhadap Naim, tapi pada masa yang sama saya rasa sangat berbangga dan bersyukur Naim berani mengambil langkah untuk mencabar kawasan Kinabatangan ini yang begitu luas,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini arwah Bung Moktar sering mengajarnya supaya anak muda sentiasa bersyukur, merendah diri dan saling bantu-membantu.

“Saya pegang pesan arwah (Bung Moktar) sampai hari ini,” katanya.

Pada PRK Parlimen Kinabatangan itu, Naim menang dengan majoriti 14,214 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Beliau memperolehi 19,852 undi berbanding pencabar terdekatnya, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) yang memperolehi 5,638 undi dan Goldam Hamid (Bebas) dengan 946 undi. – Info X