Search

Polis ‘sapu’ samseng jalanan, 28 saman dikeluarkan di Kota Belud

January 25, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Polis ‘sapu’ samseng jalanan dalam Operasi Bersepadu selama dua hari di daerah ini, dengan 28 saman dikeluarkan dan sebuah motosikal disita.

Operasi berkenaan dijalankan selama dua hari bermula 24 Januari dan berakhir hari ini.

Ia menumpukan beberapa lokasi tumpuan termasuk Jalan Pan Borneo berhampiran Kuala Abai dan Batu Gadung, susulan aduan orang awam berhubung aktiviti samseng jalanan serta gangguan ketenteraman awam di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, operasi berkenaan membabitkan satu pegawai kanan dan 10 pegawai rendah polis.

Menurutnya, operasi itu dilaksanakan dengan penglibatan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Balai Polis Kota Belud serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK)

“Sepanjang operasi dijalankan, seramai 43 individu dan 30 buah kenderaan diperiksa, dengan hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan lalu lintas dikesan.

“Sebanyak 28 saman dikeluarkan atas kesalahan antaranya tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, kenderaan tanpa nombor pendaftaran, penggunaan ekzos ubah suai serta kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anggota polis memeriksa motosikal dalam operasi bersepadu di Kota Belud.

Beliau berkata, sebuah motosikal turut disita untuk siasatan lanjut.

Katanya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti samseng jalanan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, beliau berkata polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya, selain tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna lain. – Info X