Search

Sokongan padu rakyat penting dalam agenda pembangunan negeri – KM

January 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu terus memberi sokongan padu kepada kerajaan dan menjadi rakan kongsi bagi merealisasikan agenda pembangunan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sokongan itu penting bagi memastikan usaha kerajaan untuk membangunkan Sabah dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Aspirasi saya sebagai Ketua Menteri adalah untuk melakarkan laluan pembangunan bagi Sabah dan rakyat.

“Justeru, sokongan berterusan adalah penting demi kesinambungan pembangunan rakyat dan negeri ini,” katanya pada majlis perasmian Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.

Ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Dalam ucapannya, Hajiji turut memuji Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersekutu Kota Kinabalu (USCCAKK) kerana berjaya menganjurkan Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa Tahun Baharu Cina 2026 sempena sambutan Tahun Baharu Cina bulan depan.

Beliau berkata USCCAKK secara konsisten menganjurkan acara itu sejak beberapa tahun lalu, menjadikannya satu sambutan kebudayaan tahunan yang dinanti-nantikan bukan saja masyarakat Cina, malah pelbagai lapisan masyarakat di Sabah.

Katanya, acara itu juga berperanan sebagai platform untuk memupuk toleransi dan saling menerima dalam membina masa depan bersama.

“Sebab itu, sambutan perayaan dan kebudayaan dalam kalangan masyarakat Sabah daripada pelbagai agama, etnik dan budaya adalah identiti unik di negeri ini.

“Di Sabah sendiri, sambutan kebudayaan dan perayaan setiap kaum sudah menjadi upacara tahunan dan amalan.

“Ia adalah asas untuk meningkatkan perpaduan dan keharmonian sedia ada dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri ini,” katanya.

Berdasarkan Zodiak Cina, 2026 adalah Tahun Kuda Api dan dikaitkan dengan perubahan, inovasi serta keberanian dan menawarkan peluang besar.

“Justeru, semangat dan tenaga dalam Tahun Kuda ini perlu kita ambil untuk bersama-sama dalam membawa lebih banyak pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Kerajaan Negeri ingin berkongsi visi harapan ini dan akan terus maju ke hadapan serta meneruskan agenda pembangunan untuk memulihkan ekonomi, melaksanakan rancangan serta mencari peluang yang baik untuk negeri dan rakyat,” katanya. – Info X