Search

PGA tumpaskan rokok seludup, 288 karton dirampas di Kunak

January 26, 2026

Info X Reporters

KUNAK: Cubaan menyeludup rokok tidak bercukai berjaya dipatahkan selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas ratusan karton rokok dalam satu serbuan di Kampung Pangkalan Nelayan, di sini, semalam.

Serbuan dijalankan oleh Platun Tiger, Batalion 22 PGA Kunak menerusi Operasi Rondaan Jarak Jauh (RJJ) kira-kira jam 12.30 tengah malam di sebuah rumah tidak bernombor di perkampungan atas air berkenaan.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Batalion 22 PGA Kunak, hari ini, operasi itu dilaksanakan hasil maklumat risikan serta pemantauan berterusan yang dijalankan pasukan keselamatan di kawasan terbabit.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan menemukan sebanyak 288 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai, disembunyikan di ruang dalam bilik pakaian.

“Seorang suspek lelaki warganegara Malaysia ditahan di lokasi bersama barang rampasan, dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM105,360,” katanya.

Katanya lagi, semua tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan Akta Kastam 1967.

Operasi berkenaan, jelas kenyataan itu lagi, membuktikan keberkesanan risikan serta komitmen berterusan pasukan keselamatan dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan di kawasan tanggungjawab.

Selain itu, rondaan dan risikan akan terus dipertingkatkan sepanjang pelaksanaan Operasi Rondaan Jarak Jauh bagi memastikan keselamatan serta mengekang sebarang aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan. – Info X