Search

Lelaki mengamuk dicekup polis, rupanya suspek dikehendaki kes tipu

January 26, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan pantas polis berjaya menamatkan kekecohan apabila seorang lelaki tempatan yang bertindak mengamuk serta mengancam penduduk kampung ditahan dalam kejadian di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, suspek dilaporkan bertindak agresif sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk setempat.

Situasi berkenaan bagaimanapun berjaya dikawal selepas anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC).

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil operasi pantas dengan bantuan dua lagi kenderaan MPV, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.

“Semakan lanjut melalui sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD) mendapati suspek adalah individu dikehendaki polis berkaitan kes tipu yang dilaporkan di Putatan, Kota Kinabalu, tahun lalu.

“Pemeriksaan ke atas suspek turut menemukan beberapa barangan berbahaya dipercayai digunakan ketika kejadian termasuk pemutar skru, bilah pisau pemotong kertas, bilah gunting serta sebatang besi, yang kesemuanya dirampas bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan membabitkan kes tipu yang dikaitkan dengan suspek.

“Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan individu agresif atau mencurigakan, sebaliknya segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil demi keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – Info X