KOTA KINABALU: Tiga kampung yang sebelum ini dilaporkan menjadi milik Malaysia setelah selesai rundingan isu sempadan dengan Indonesia sebenarnya berada di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian atau Outstanding Boundary Problem (OBP) membabitkan kedua-dua negara.
Memetik laporan sebuah portal berpangkalan di Kalimantan, Indonesia, Niaga.Asia, tiga kampung terbabit iaitu Kabungalor, Lepaga dan Tetagas sebahagian besarnya masih berada dalam Kabupaten Nunukan, wilayah Kalimantan Utara, Indonesia, manakala hanya sebahagian kecil menjadi milik Malaysia.
Difahamkan, ketiga-tiga kampung berkenaan yang berada di Kecamatan Lumbis Ulu, Kabupaten Nunukan, bersempadan dengan Pensiangan, Nabawan di pedalaman Sabah.
Portal di wilayah jiran itu menyebut bahawa Indonesia-Malaysia mencapai kata sepakat bahawa daripada 5,900 hektar luas Kampung Kabungalor, Lepaga dan Tetagas di Kecamatan Lumbis Ulu itu, seluas 5,207.8 hektar atau 86.81 peratus masuk dalam wilayah Indonesia, manakala bakinya seluas 778.5 hektar atau 13.19 peratus masuk ke negara Malaysia.
Menurut portal berkenaan, dengan tercapainya kesepakatan itu, Pemerintah Indonesia memutuskan dan menetapkan bahawa perbahasan mengenai OBP Segmen Sinapad, Sungai Sesai, B2700-B3100, OBP Sungai Simantipal dan OBP Sebatik dengan Malaysia sejak bertahun lamanya sudah selesai.
Perkara itu, kata portal berkenaan dijelaskan Bupati Nunukan, Irwan Sabri setelah bertemu dan mendapatkan penjelasan dari Setiausaha Badan Nasional Pengelola Perbatasan (BNPP) Indonesia, Makhruzi Rahman, di Jakarta.
Sebelum ini ada pihak beranggapan tiga kampung berkenaan menjadi milik Malaysia, manakala 5,207 hektar yang menjadi milik Indonesia dikatakan diserahkan kepada negara itu sebagai ganti kawasan yang berpindah milik kepada Malaysia.
Kenyataan Makhruzi sebelum ini yang dipetik menerusi laporan agensi berita antarabangsa menimbulkan pelbagai reaksi termasuk mendapat maklum balas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menafikan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar kepada Indonesia. – Info X