Search

SMJ 2.0 beri isyarat Sabah mahu memimpin hala tuju sendiri – Mandela

January 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pelancaran Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pada 30 Januari ini memberi isyarat jelas bahawa Sabah tidak lagi mahu hanya ‘mengikut arus’, sebaliknya mahu memimpin hala tuju sendiri.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, berkata Sabah mahu bergerak sebagai sebuah negeri yang yakin, berdaya saing dan dihormati di dalam Malaysia dan di luar negara.

Katanya, Sabah sejak dulu memikul harapan yang besar dan bertahun-tahun rakyatnya diminta bersabar, menerima kekangan dan percaya kemajuan akan datang sama ada cepat atau lambat.

“Tapi kita semua tahu, masa sahaja tidak membina masa depan. Masa depan dibina melalui keputusan yang betul, kerja yang berdisiplin dan pelaksanaan yang konsisten.

“Pada 30 Januari, Sabah akan melancarkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya SMJ 2.0. Ini isyarat jelas bahawa Sabah tidak lagi mahu hanya ‘mengikut arus’,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik itu, berkata SMJ 2.0 penting kerana Sabah tidak pernah kekurangan bakat atau sumber, sebaliknya sering kurang kesinambungan.

Jelasnya, kestabilan adalah faktor penting yang membolehkan institusi matang, projek disiapkan dan pembaharuan benar-benar menjadi.

“Apabila politik berubah, keutamaanpun mudah berubah. Ada yang cuba cuci tangan, tapi rakyat Sabah yang menaggung kerugiannya.

“Projek Pan Borneo kehilangan momentum apabila model Project Delivery Partner (PDP) dibatalkan oleh kerajaan terdahulu. Apapun alasan mereka, kesannya sama. Rakyat yang menanggung dan kesannya bukan sekadar kelewatan.

“Dalam satu kes, pentadbiran terdahulu menamatkan secara tidak sah sembilan operator yang mengurus operasi loji rawatan air (LRA) di seluruh Sabah dan akhirnya rakyat Sabah terpaksa membayar RM315 juta pampasan dan ganti rugi.

“RM315 juta itu boleh membina lebih 3,000 unit Rumah Mesra SMJ untuk miskin tegar. Sebanyak 3,000 keluarga yang akhirnya ada bumbung sendiri.

“Inilah sebab kesinambungan itu penting. Kita perlu siapkan apa yang patut disiapkan, jaga wang rakyat dan elakkan daripada membuat keputusan tergesa-gesa yang akhirnya menghukum rakyat,” katanya.

Beliau berkata, SMJ 1.0 menjadi asas untuk fasa menstabilkan pentadbiran, memulihkan keyakinan, mengemaskan penyelarasan, memperkuat disiplin kewangan dan menetapkan keutamaan yang jelas.

“Rumah tidak boleh dibesarkan kalau tiangnya masih retak. Sekarang SMJ 2.0 membawa Sabah ke fasa seterusnya, transformasi.

“Baiki apa yang perlu dibaiki, bina apa yang perlu dibina dan ukur prestasi melalui hasil yang rakyat boleh nampak dan rasa. SMJ 2.0 berdiri atas satu prinsip yang mudah, Rumah Kita, Kita Jaga. Kepentingan Sabah didahulukan, hak Sabah dipertahankan dan pembangunan dibentuk oleh rakyat Sabah untuk masa depan Sabah,” katanya.

Mandela berkata hala tuju itu dipandu empat teras, iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.

Sabah First katanya bermaksud keperluan harian rakyat dan hak Sabah tidak boleh diketepikan, manakala Sabah Forward bermaksud bersedia untuk ekonomi masa depan, dengan kemahiran, keupayaan digital dan industri baharu yang mencipta nilai.

“Sabah Prosper bermaksud kemajuan mesti dirasai, perkhidmatan asas mesti berfungsi, pendapatan rakyat mesti meningkat dan peluang mesti nyata.

“Sabah United bermaksud kita bergerak ke depan bersama, kekal stabil, bersatu dan yakin dengan kepelbagaian kita.

“Untuk anak muda, ini menjadi ujian sebenar. Kamu bukan minta layanan istimewa. Kamu cuma mahu peluang yang adil. Pekerjaan yang baik, kemahiran yang relevan, kos hidup yang lebih mampu dan keyakinan bahawa masa depan boleh dibina di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kepimpinan juga penting yang mana Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor komited memastikan Sabah kekal stabil ketika ketidakstabilan sebenarnya lebih mudah berlaku.

“Kestabilan bukan matlamat akhir, tapi ia asas untuk hasil yang nyata. SMJ 2.0 ialah usaha menukar kestabilan kepada momentum dan momentum kepada penyampaian.

“Pada 30 Januari, kita bukan sekadar melancarkan satu dokumen. Kita sedang menetapkan haluan untuk lembaran seterusnya Sabah, berteraskan maruah, dipacu prestasi dan dikuatkan dengan perpaduan.

“Percaya pada Sabah. Yakin pada kepimpinan yang stabil. Mari kita maju bersama,” katanya. – Info X