Search

REALITY ‘SAKSI’ PERJUANGAN 16 TAHUN VELVET SEBAGAI ANAK SENI

June 16, 2022

admin

KOTA KINABALU: Selepas 16 tahun bergelar anak seni, penghibur berbakat besar kelahiran Sabah, Velvet Aduk bakal muncul dengan album sulungnya berjudul Reality.

Teruja dengan album pertamanya itu pada Ogos depan, penyanyi berusia 35 tahun berkenaan memaklumkan album yang menampilkan sembilan buah lagu termasuk tiga single terbaharu yang dilancarkan sepanjang tahun ini seperti Mama (Januari), Mungkin Ini Bukan Sayang (Jun) dan Celaru (Julai).

“Melihat diri sendiri sebagai seorang artis indie dan satu-satunya perkara yang dimiliki adalah semangat dan sokongan daripada setiap individu yang mendengar lagu saya.

“Saya hanya mahu menghasilkan sebuah karya yang terbaik dan adakalanya wujud keterbatasan hingga membuatkan saya hampir menyerah untuk melakukan apa yang dimahukan.

“Bukan seperti kebiasaan yang dilihat dalam penghasilan album artist lain, Reality merupakan kompilasi lagu dan hasil karya yang sudah saya hasilkan dan terbit dari tahun 2019 sehingga tahun ini.

“Kompilasi lagu-lagu dalam album ini memaparkan keperibadian dan kehidupan saya di mana setiap lagu mempunyai kisahnya tersendiri,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai karya sulungnya itu, bekas bintang Akademi Fantasia musim keempat itu menyatakan Reality menjadi tema utama dalam penghasil album berkenaan disebabkan proses pembikinan album terbabit yang mengambil masa lama namun segala usaha alhirnya menjadi realiti buat dirinya.

Menurut Velvet, dia menzahirkan rasa syukur dan bertuah kerana sekumpulan pemuzik berbakat yang merupakan kawan-kawan rapatnya sentiasa memahami, membantu dan menyokong perjuangan seni dirinya.

“Rezeki tidak pernah salah alamat. Terima kasih kepada Bornaya Records kerana membantu dalam merealisasikan pembikinan album ini.

“Saya berniat untuk menghasilkan lebih banyak lagu pada masa akan datang kerana muzik adalah cara ekspresi yang saya minati.

“Album pertama ini akan menjadi pencetus kepada lebih banyak karya seni dan berharap terdapat kesinambungan untuk lagu atau karya pada tahun depan dan seterusnya,” katanya. – Info X