KAHERAH: Kerajaan Sabah terus memperkukuh jaringan keilmuan Islam antarabangsa apabila satu delegasi peringkat tinggi yang diketuai Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Musa Aman, mengadakan lawatan rasmi ke Akademi Antarabangsa Al-Azhar, di sini, semalam.
Lawatan berkenaan menjadi sebahagian usaha strategik Sabah untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang keilmuan dan keagamaan antara Al-Azhar Al-Sharif, pusat pengajian Islam tertua dan paling berprestij di dunia, dengan institusi Islam di Malaysia.
Delegasi Sabah turut disertai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Agama Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Mufti Sabah Datuk Aziz Jaafar, serta wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah.

Ketibaan delegasi disambut oleh wakil Al-Azhar Al-Sharif, Dr Mohamed Al-Dwaini, Setiausaha Agung Kompleks Penyelidikan Islam Mohamed Al-Jandi, dan Presiden Akademi Antarabangsa Al-Azhar Dr Hassan Salah Junior.
Sempena lawatan itu, Tun Dr Musa bersama delegasi menghadiri majlis perasmian Dewan Imam Besar Al-Azhar, yang dinamakan sempena Imam Besar Al-Azhar, Profesor Dr Ahmed El-Tayyib, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan sumbangan beliau dalam mempromosikan pendekatan Islam wasatiyyah di peringkat global.
Tun Dr Musa merakamkan penghargaan atas sambutan dan lawatan ke Al-Azhar Al-Sharif serta Akademi Antarabangsa Al-Azhar, sambil menyifatkan institusi berkenaan sebagai mercu tanda keilmuan Islam dunia yang sekian lama menyumbang kepada pembangunan umat Islam sejagat.
Beliau berkata, penamaan dewan sempena Profesor Dr Ahmed El-Tayyib mencerminkan penghargaan tinggi terhadap peranan beliau dalam memperjuangkan pemikiran Islam sederhana, selain menyatakan hasrat Sabah untuk memperluaskan kerjasama dengan Al-Azhar khususnya dalam bidang pendidikan agama dan latihan dakwah.
Sementara itu, Dr Mohamed Al-Dwaini berkata Al-Azhar amat menghargai hubungan keilmuan dan keagamaan yang telah lama terjalin dengan Malaysia.
Beliau menyifatkan lawatan delegasi Sabah sebagai bukti kukuhnya kerjasama antara Al-Azhar dan institusi agama di Malaysia.

“Di bawah kepimpinan Profesor Dr Ahmed El-Tayyib, Al-Azhar memberi penekanan besar terhadap latihan dan pemulihan imam serta pendakwah bagi menyumbang kepada keharmonian sosial, dialog antara budaya dan kehidupan bersama secara aman,” katanya.
Dr Hassan Salah Junior pula berkata Akademi Antarabangsa Al-Azhar kekal komited melahirkan pendakwah yang berilmu, seimbang dan berkesedaran tinggi, serta mampu menangani cabaran semasa melalui pendekatan ilmiah dan metodologi saintifik.
Pada akhir lawatan, delegasi Sabah memuji program akademik dan latihan khusus yang ditawarkan akademi berkenaan, selain menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Al-Azhar Al-Sharif dalam memajukan pemikiran Islam sederhana dan inisiatif dakwah di peringkat antarabangsa. – Info X