KUDAT: Polis berjaya menumpaskan kegiatan pecah rumah dan curi di daerah ini apabila lima lelaki ditahan dalam beberapa serbuan berasingan, sekali gus membongkar penglibatan kumpulan terbabit dalam sekurang-kurangnya 13 kes jenayah yang berlaku sekitar Kudat.
Kejayaan berkenaan hasil operasi bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat dengan bantuan pasukan task force yang dilancarkan pada 1 Januari lalu, antara jam 4 hingga 5.30 petang.
Operasi itu dijalankan di dua lokasi berasingan iaitu di hadapan bangunan KO-Nelayan serta di tepi Jalan Pantai Bak-Bak, di sini.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, dalam serbuan awal itu, dua lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi di sekitar daerah Kudat.

“Hasil risikan dan maklumat lanjut membawa kepada tangkapan susulan dua lagi lelaki pada 4 Januari lalu di Kampung Tanjung Kapor serta Jalan Pinangsoo, sebelum seorang lagi suspek terakhir diberkas keesokan harinya di sebuah stesen minyak di Jalan Tamalang.
“Dengan tertangkapnya kelima-lima suspek ini, polis turut merampas pelbagai jenis barangan yang dipercayai hasil kegiatan curi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Haris berkata, hasil siasatan mendapati semua suspek mengaku terlibat dalam 13 kes pecah rumah dan curi di daerah ini, dengan enam kertas siasatan sudah mendapat arahan untuk pertuduhan.
“Ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis syabu (methamphetamine).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 379, Seksyen 380 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan akan terus mempergiatkan operasi serta rondaan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
“Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di kawasan masing-masing kepada Polis Daerah Kudat supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya. – Info X