KUDAT: Seorang pengetua sekolah menengah maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Kilometer 18, Jalan Kudat – Kota Kinabalu berhampiran simpang RTM Sikuati, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, Ahmad Mehdunah, 60, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sikuati, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas didapati tidak sedarkan diri sebaik kenderaan terbabit terhenti di dalam parit di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux single cab yang dipandu mangsa dari arah Kota Kinabalu menghala ke Kudat.
Menurutnya, saksi kejadian memaklumkan kenderaan mangsa dilihat bergerak perlahan secara tiba-tiba sebelum terbabas ke bahagian kanan jalan.
“Kenderaan berkenaan kemudian masuk ke dalam parit sebelum melanggar sebuah tiang elektrik di tepi jalan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal luaran dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Mohd Haris berkata, mangsa yang juga Pengetua SMK Sikuati, kemudian dibawa ke Hospital Kudat oleh kenderaan polis untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis meminta saksi kejadian yang menyaksikan kemalangan berkenaan tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X