KOTA MARUDU: Polis mengesan peningkatan kes penipuan jual beli kereta, motosikal serta pelaburan atas talian yang tidak wujud menerusi aplikasi Facebook Marketplace, dengan jumlah kerugian direkodkan melebihi RM35,000 di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima beberapa laporan berkaitan penipuan pembelian atas talian yang membabitkan urus niaga kenderaan, pelaburan dan barangan tidak wujud, dipercayai dilakukan oleh individu atau pihak tidak bertanggungjawab.
“Rekod Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Kota Marudu menunjukkan mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang sama ada penjawat awam atau orang awam, dengan kebanyakan laporan diterima daripada penduduk daerah Pitas.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengiklankan barangan atau kenderaan pada harga terlalu murah bagi menarik minat mangsa sebelum menghubungi mereka melalui WhatsApp atau Facebook Messenger,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya diarahkan membuat bayaran ke akaun bank tertentu atas pelbagai alasan seperti deposit tempahan, insurans, kos penghantaran atau cukai.
“Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, suspek gagal dihubungi, semua bentuk komunikasi terputus dan iklan yang disiarkan turut dipadamkan,” katanya.
Sehubungan itu, Simiun menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan urusan atas talian dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga yang terlalu rendah berbanding pasaran.
Beliau turut menggesa orang ramai membuat semakan latar belakang penjual serta mengelakkan sebarang bayaran awal tanpa pengesahan yang sah.
“Orang ramai diminta segera tampil membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa penipuan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” katanya. – Info X