Search

Lapan kenderaan musnah garaj terbakar di Tuaran

January 30, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Sebanyak lapan kenderaan termasuk motosikal musnah dalam kebakaran sebuah garaj di Kampung Lok Batik, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.46 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Tuaran digerakkan ke lokasi.

Katanya, jentera pertama tiba pada jam 4.56 pagi selepas menempuh jarak kira-kira tujuh kilometer.

Anggota bomba memadam kebakaran garaj di Kampung Lok Batik, Tuaran. – Pix/Bomba

“Kebakaran melibatkan sebuah garaj berkeluasan kira-kira 56 meter persegi dan struktur garaj terbakar 100 peratus.

“Turut musnah dalam kejadian ini ialah enam kereta dan dua motosikal yang berada dalam garaj berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, api didapati marak dengan cepat berikutan binaan tidak kekal serta bahan mudah terbakar di dalam premis berkenaan.

Lapan kenderaan musnah dalam kebakaran garaj di Kampung Lok Batik, Tuaran. – Pix/Bomba

“Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan dua pancutan dan sumber air diperoleh daripada tangki jentera serta bantuan tangki air.

“Operasi terkawal pada jam 5.15 pagi dan anggota kemudian menjalankan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada punca api tersembunyi yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.

Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.19 pagi selepas kawasan disahkan selamat dan tiada mangsa dilaporkan cedera atau terperangkap dalam insiden ini. – Info X