TAWAU: Taktik memalsukan maklumat bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri terbongkar apabila dua wanita ditahan dalam dua kes berasingan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, di sini, pada Selasa.
Dalam tangkapan pertama, seorang wanita tempatan ditahan kira-kira jam 12 tengah hari ketika hadir di Jabatan Pendaftaran Negara Daerah Tawau.
Menerusi hantaran di Facebook (FB) rasmi JPN Sabah, hari ini suspek dipercayai bertindak sebagai pemohon dan mengemukakan maklumat palsu bagi permohonan Daftar Lewat Kad Pengenalan.
“Siasatan awal mendapati suspek cuba memperdaya pegawai bertugas dengan mengemukakan butiran tidak benar, namun tindakannya berjaya dihidu hasil penelitian rapi pegawai JPN sebelum penahanan dibuat di lokasi sama.
“Dalam tangkapan kedua pula, seorang wanita warga emas telah ditahan pada jam kira-kira 2.00 petang di lokasi yang sama,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, warga emas itu dipercayai telah memberikan maklumat palsu sebagai penganjur yang mengaku sebagai ibu semasa permohonan kad pengenalan yang dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara Daerah Kinabatangan.
“Kedua-dua kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga (3) tahun, atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“JPN Sabah menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh integriti sistem pendaftaran negara serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pemalsuan maklumat atau penipuan dokumen rasmi, demi menjaga keselamatan dan kedaulatan sistem pengenalan diri negara,” katanya. – Info X