Search

Bayi antara tiga tersepit dua lori bertembung

January 29, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Tiga termasuk seorang bayi dilaporkan tersepit di kabin lori dalam kejadian kemalangan melibatkan dua lori di Kampung Lebak Moyoh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, ketiga-tiga mangsa warga asing berusia 3 bulan hingga 35 tahun dilaporkan mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.29 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 2 kilometer untuk membantu.

“Kemalangan melibatkan sebuah lori 3.5 tan milik syarikat yang membawa muatan barangan runcit dan sebuah lori Isuzu 2 tan membawa muatan besi buruk.

“Terdapat tiga mangsa berada di dalam lori Isuzu 2 tan mengalami kecederaan akibat tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud.

Menurutnya, semua mangsa dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan Ambulans untuk rawatan lanjut.

Manakala katanya, pemandu dan kelindan lori kedua dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.06 pagi,” katanya. – Info X