KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menubuhkan sebuah sekretariat atau badan sukarela yang akan bertindak sebagai pasukan barisan hadapan membantu masyarakat.
Pemangku ketuanya, Azrul Ibrahim, berkata badan sukarela dikenali sebagai Gagah Muda atau ringkasnya GAHMUDA itu akan dilancarkan selepas sambutan Aidilfitri, Mac depan.
Katanya, GAHMUDA bersifat terbuka yang bukan saja dianggotai ahli Gagasan Rakyat, malah sesiapa saja tanpa mengira latar belakang politik atau bersifat non partisan.
“GAHMUDA ini untuk kita mewujudkan taskforce sukarela yang dianggotai ahli parti dan non partisan, semua boleh menyertainya.
“Kita mahu anak muda menyertainya dan mengangkat kebersamaan dalam konteks sukarelawan,” katanya pada sinfang media selepas mesyuarat pergerakan itu, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata anggota GAHMUDA akan digerakkan sebagai barisan hadapan bagi membantu masyarakat dalam kes bencana seperti banjir, kebakaran dan kes lain yang memerlukan bantuan seperti pengurusan jenazah.
Katanya, penubuhan GAHMUDA adalah satu inisiatif bagi menggalak dan memperkasa agwnda kesukarelawanan dan mendekati rakyat di petingkat akar umbi. – Info X