Search

SAFA SOKONG SETIAP DAERAH MILIKI PADANG BOLA SEPAK SENDIRI

June 16, 2022

admin

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menyokong sebarang usaha SAFA daerah bagi memiliki padang sendiri untuk menjalankan program serta aktiviti bola sepak di daerah masing-masing.

Presidennya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya sentiasa menyokong dan mengalu-alukan usaha seumpama itu khususnya SAFA daerah yang berdaftar secara sah.

“Perkara ini boleh diusahakan dan selaku presiden, saya akan berusaha membantu serta memberi sokongan terhadap hasrat berkenaan.

“Hasrat beberapa SAFA daerah ingin memiliki padang sendiri adalah satu langkah yang baik bagi membolehkan mereka dapat berdikari dan mengelak kebergantungan kepada padang yang dimiliki pihak lain.

“Hal ini juga akan memudahkan pemain di setiap daerah menjalani latihan bola sepak sekaligus mengasah cara permainan agar menjadi lebih baik,” katanya selepas mengadakan perbincangan dengan para pegawai SAFA di kediamannya pada Rabu.

Turut hadir Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar, Setiausaha Eksekutif, David Wisom, Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan SAFA, Lokman Sunggim.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri memaklumkan pihaknya juga sedang merancang untuk membantu SAFA daerah untuk mendapatkan tapak yang boleh dijadikan padang bola sepak.

“Ini memang ada dalam perancangan SAFA pusat dan berharap ia boleh direalisasikan dengan kerjasama semua pihak termasuk pengurusan SAFA di daerah masing-masing,” katanya. – Info X