SEMPORNA: Sekilas pandang kelihatan seperti kenderaan biasa berhenti di hadapan pondok bas.
Namun pemeriksaan lanjut mendapati bonet dan tempat duduk penumpang belakang dipenuhi kotak serta bungkusan rokok pelbagai jenama, sekali gus membongkar cubaan penyeludupan yang disorok rapi.
Menerusi hantaran di Facebook (FB) Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Operasi Intra/Inter Agensi (Op Taring Alpha 1) pada Sabtu.
Menurutnya, dalam operasi itu, pasukan risikan Task Force Batalion 22 PGA Kunak dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menahan sebuah Proton Waja warna emas bersama seorang pemandu lelaki di hadapan pondok bas Amin Jaya Express.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan rokok seludup yang disimpan di dalam bonet serta tempat duduk penumpang belakang.

“Pegawai risikan yang memperkenalkan diri memaklumkan tujuan pemeriksaan sebelum menemui rokok pelbagai jenama disimpan padat di bonet serta tempat duduk penumpang belakang, dipercayai bagi mengaburi pandangan dan memaksimumkan muatan,” katanya.
Tambahnya, suspek ditahan bersama barang kes sebelum diserahkan kepada Cawangan Jenayah IPD Semporna untuk siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM95,320, manakala kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
“Pihak berkuasa memaklumkan, risikan akan diteruskan bagi mengesan rangkaian serta pihak lain yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok di daerah ini. – Info X