KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) akan melaksanakan semakan semula tarif elektrik di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bermula 1 Februari 2026.
Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, SE menyatakan semakan akan dilaksanakan secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil, berkualiti dan mampan, sambil terus mengambil kira kesejahteraan pengguna.
Katanya, semakan di bawah IBR dilakukan bagi menampung kos
pembekalan elektrik, selaras dengan peruntukan Seksyen 39, Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
“Pelaksanaan semakan tarif ini dibuat susulan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan sistem, keperluan pelaburan infrastruktur serta selaras dengan dasar kerajaan mengenai pengurangan subsidi secara berperingkat.
“Langkah ini penting bagi kelangsungan dan kemampanan syarikat utiliti dalam memastikan sistem pembekalan elektrik terus berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan semasa serta masa hadapan,” kata kenyataan itu.
SE berkata, perubahan kadar tarif elektrik melibatkan semakan struktur dan kadar tarif baharu elektrik bagi penggunanya yang mana kadar purata tarif asas 34.52 sen/kWj telah diselaraskan kepada 39.70 sen/kWj.
Bagi tempoh kawal selia kedua (Regulatory Period 2 – RP2), katanya kadar purata kos pembekalan elektrik atau tarif sebenar diperlukan ialah 45.08 sen/kWj berbanding dengan semakan tarif yang diluluskan iaitu 39.70 sen/kWj.
Jelasnya, kerajaan Persekutuan masih komited memberikan bantuan subsidi bagi menampung jurang perbezaan tersebut, yang mana jumlah subsidi bagi dua tahun (2026–2027) adalah sebanyak RM849 juta.
“Pengguna elektrik di Sabah dan WP Labuan telah menikmati kadar tarif terkini sejak 2014 di mana semakan terakhir dilaksanakan dan kos pembekalan elektrik telah meningkat, namun tarif elektrik tidak diselaraskan mengakibatkan kebergantungan bantuan subsidi yang tinggi daripada Kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, SE berkata semakan tarif ini juga mengambil kira kepentingan pengguna domestik, peniaga kecil dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Sebanyak 85 peratus pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 600 kWj (amaun bil semasa RM5 hingga RM206) hanya mengalami kenaikan minima hingga RM27.
“Bagi pengguna domestik miskin tegar, rebat e-Kasih sehingga maksimum RM40 sebulan akan terus diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem e-kasih.
“Bagi pengguna komersil kecil pula, blok penggunaan elektrik yang dilindungi dilanjutkan sehingga 500kWj sebulan (bagi amaun bil semasa RM15 hingga RM199).
“Dianggar lebih separuh pengguna komersil berada dalam kategori ini dan hanya akan mengalami kesan kenaikan yang minimum kenaikan RM4 hingga RM24 termasuk kedai runcit dan perniagaan kecil,” katanya.
SE menjelaskan Off-Peak Tariff Rider (OPTR) iaitu diskaun 20 peratus bagi penggunaan waktu bukan puncak juga diteruskan kepada pengguna Komersil dan industri voltan rendah untuk mengurangkan beban peniaga kecil-kecilan.
Sementara itu, SE berkata sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan sosial dan pembangunan komuniti, diskaun 10 peratus kepada rumah kebajikan, rumah ibadat dan institusi pendidikan berdaftar (Welfare, Worship & Education) diteruskan sepanjang tempoh pelaksanaan semakan tarif.
“Kerajaan Negeri juga memperkenalkan diskaun 10 peratus yang baharu kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan (Agriculture, Aquaculture & Aquamarine – AAA) sebagai langkah menyokong keterjaminan makanan dan kestabilan rantaian bekalan.
“Melalui semakan tarif ini, pelaburan dapat diteruskan bagi penyelenggaraan dan naik taraf rangkaian elektrik, sekali gus mengurangkan gangguan bekalan serta menyokong pembangunan infrastruktur baharu termasuk sistem grid yang lebih kukuh dan mampan,” katanya.
Langkah itu, katanya penting bagi memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil dan boleh dipercayai untuk kegunaan rakyat dan sektor perniagaan.
Dalam pada itu, SE berkata pengguna adalah digalakkan untuk menggunakan tenaga lebih cekap dan berhemah serta menyertai program tenaga yang dikelola oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) bersama Sabah Electricity bagi mengurangkan impak kenaikan bil dan menyokong penggunaan tenaga boleh baharu.
Katanya, maklumat berkaitan
boleh didapati melalui laman sesawang ECoS di https://ecos.gov.my.
SE menjelaskan, pengguna boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai jadual tarif melalui laman sesawang Sabah Electricity www.sesb.com.my serta membuat anggaran kos bil elektrik bulanan akan datang menggunakan Kalkulator Bil Elektrik yang boleh diakses mulai 1 Februari 2026.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, SE menggalakkan pengguna menghubungi Sabah Electricity di talian 15444, 088-515000 atau melalui aplikasi Sabah Electricity. – Info X