Search

Kenaikan tarif elektrik perlu disertai kualiti bekalan kepada pengguna

January 31, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) diingatkan supaya memastikan kualiti perkhidmatannya dan bekalan elektrik ditingkatkan selaras peningkatan tarif yang diumumkan syarikat utiliti itu.

Peringatan itu ditekankan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang mahu sebarang kenaikan tarif elektrik disertai peningkatan kualiti bekalan elektrik.

Pemangku ketuanya, Azrul Ibrahim, menegaskan sebarang gangguan bekalan, ketidakstabilan voltan dan isu kebolehpercayaan sistem tidak boleh lagi dianggap sebagai perkara biasa, lebih-lebih lagi apabila pengguna diminta membayar kadar yang lebih tinggi.

Tegasnya, SE perlu memastikan tahap kecekapan operasi, kebolehpercayaan sistem dan respons perkhidmatan pelanggan berada pada standard yang setimpal dengan pelarasan tarif diumumkan syarikat itu.

“Pemuda Gagasan Rakyat juga menggesa agar perlindungan kepada pengguna diperluaskan melalui mekanisme diskaun, rebat atau bantuan bersasar, khususnya kepada golongan B40, isi rumah berpendapatan sederhana, peniaga kecil serta sektor-sektor kritikal yang menyokong ekonomi rakyat.

“Pendekatan bersasar dan berfokus amat penting supaya pelarasan tarif ini tidak memberi tekanan kepada kumpulan rentan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, katanya setiap sen tambahan hasil daripada pelarasan tarif itu mesti dibelanjakan secara berhemah, telus dan bertanggungjawab, dengan keutamaan kepada penambahbaikan infrastruktur, pengurangan kadar gangguan bekalan serta pelaburan dalam sumber tenaga yang lebih mampan dan cekap.

Tegasnya, rakyat berhak melihat pulangan yang jelas dan ketara daripada apa yang mereka bayar.

“Pemuda Gagasan Rakyat berharap semua pihak berkepentingan mengambil pendekatan yang seimbang antara keperluan kewangan utiliti, tanggungjawab kerajaan serta kesejahteraan rakyat Sabah.

“Semakan tarif ini bukan semata-mata soal kenaikan harga, tetapi sepatutnya langkah ke hadapan untuk memastikan sistem elektrik Sabah lebih terjamin, mampan dan boleh dipercayai untuk generasi kini dan masa depan,” katanya.

Azrul berkata Pemuda Gagasan Rakyat mengambil maklum pengumuman SE berhubung semakan dan pelarasan tarif elektrik di Sabah yang akan berkuat kuasa bermula 1 Februari 2026.

Secara prinsipnya, beliau berkata Pemuda Gagasan Rakyat memahami semakan tarif elektrik adalah langkah yang tidak dapat dielakkan bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah terus stabil, berkualiti dan mencukupi untuk keperluan semasa serta masa depan.

Jelasnya, pihaknya juga mengakui pelarasan itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada subsidi kerajaan secara berperingkat, di samping menampung peningkatan kos bahan api, penyelenggaraan sistem serta keperluan menaik taraf infrastruktur grid elektrik yang semakin usang.

Terdahulu, SE mengeluarkan kenyataan mengenai pelaksanaan semakan semula tarif elektrik di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bermula 1 Februari 2026.

SE menyatakan semakan akan dilaksanakan secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil, berkualiti dan mampan, sambil terus mengambil kira kesejahteraan pengguna.

Semakan di bawah IBR itu dilakukan bagi menampung kos
pembekalan elektrik, selaras dengan peruntukan Seksyen 39, Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

SE berkata, perubahan kadar tarif elektrik melibatkan semakan struktur dan kadar tarif baharu elektrik bagi penggunanya yang mana kadar purata tarif asas 34.52 sen/kWj telah diselaraskan kepada 39.70 sen/kWj. – Info X