TAWAU: Seorang wanita warga asing berusia sekitar 80 tahun ditahan polis selepas disyaki menggunakan dokumen pengenalan individu lain bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital, di sini, semalam.
Kes berkenaan terbongkar apabila seorang penjawat awam hospital membawa pesakit wanita itu ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tujuan semakan cap jari (biometrik) MyKad, sebelum hasil semakan mendapati dokumen yang digunakan bukan milik suspek.
Susulan penemuan itu, satu laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Bertindak atas laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek di perkarangan IPD Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan dokumen pengenalan milik individu lain, dan sekeping MyKad turut dirampas bagi membantu siasatan.
Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – Info X