TAWAU: Sebanyak 40 buah rumah setinggan jenis tidak kekal musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Titingan, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.15 pagi.
Katanya sepasukan 28 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.
“Jentera bomba tiba pada jam 10.35 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan kawasan rumah setinggan dengan keluasan kira-kira 177 x 60 kaki persegi.

“Operasi pemadaman berdepan cabaran susulan tekanan air rendah, namun anggota bomba menggunakan sumber air terbuka dan dari jentera bomba bagi memastikan kebakaran dapat dikawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.55 pagi dan maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan atau kehilangan nyawa dalam kejadian itu.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya. – Info X