KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuhkan lagi peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang prihatin terhadap pembangunan komuniti melalui penganjuran Program Smart Care: Asuhan Selamat, Komuniti Sejahtera.
Program yang dilaksanakan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, di sini, baru-baru ini dianjurkan Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS.
Seramai 105 peserta termasuk mahasiswa UMS dan 50 peserta komuniti yang terdiri daripada ibu-ibu Ahli BAKAT Laut menjayakan program itu.
Inisiatif berimpak komuniti itu memberi penekanan terhadap aspek penjagaan kanak-kanak secara holistik merangkumi kesihatan, pemakanan, teknik pengajaran serta pengurusan tingkah laku kanak-kanak.
Ketua Program PAKK FPPS, Dr Zafaren Zakaria berkata aspek itu selaras dengan usaha bagi memperkukuh kesejahteraan keluarga dan masyarakat.
Katanya, program itu memberi manfaat besar kepada ibu bapa, pendidik dan mahasiswa melalui perkongsian ilmu dan pengalaman secara langsung.
“Program ini memberi peluang kepada peserta meningkatkan kefahaman berkaitan asuhan dan didikan kanak-kanak, termasuk teknik penyusuan eksklusif, amalan pemakanan sihat serta pendedahan kepada asas pertolongan cemas seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan.
“Melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti yang dijalankan, peserta memperoleh pengalaman bermakna yang menyumbang kepada perkembangan holistik kanak-kanak serta kesejahteraan keluarga dan komuniti,” katanya.
Program itu turut dijayakan menerusi kerjasama strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan komuniti Ahli BAKAT.
Zafaren berkata, kerjasama itu sekali gus memperkukuh jaringan kolaborasi di antara universiti dan agensi luar dalam memperkasakan pendidikan masyarakat.
Sepanjang program berlangsung, peserta turut menyertai aktiviti pertandingan berkumpulan yang menggabungkan ibu-ibu Ahli BAKAT dan mahasiswa UMS bagi menghasilkan kit pengajaran ringkas yang boleh digunakan di rumah.
Bagi memastikan pendekatan program bersifat inklusif dan mesra keluarga, aktiviti khas bersama kanak-kanak turut diadakan oleh mahasiswa PAKK UMS melalui pendekatan pembelajaran berasaskan permainan yang merangkumi aktiviti kreatif, sensori dan sosial mengikut tahap perkembangan kanak-kanak.
Majlis perasmian dan penutupan program disempurnakan Timbalan Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyelaras program, Saturia Amiruddin atas komitmen menjayakan penganjuran program berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Program, Nurul Fatin Fasiha Norhambe, menyifatkan sambutan menggalakkan daripada komuniti sebagai bukti keperluan program seumpama itu dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan asuhan kanak-kanak yang berkualiti.
Katanya, penganjuran Program Smart Care itu mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam menyumbang kepada pembangunan awal komuniti, memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat dan melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran serta berjiwa masyarakat. – Info X