SEMPORNA: Pencemaran sampah di perairan daerah ini dilaporkan bertambah buruk berikutan pemandangan sampah terapung terutama botol plastik yang banyak kelihatan di beberapa kawasan.
Perkara itu mendapat perhatian seorang instruktor selam skuba, Aquila Chu yang berkongsi gambar hamparan botol plastik terapung yang mengotori keindahan laut Semporna di Facebook sebelum viral.
“Melawat Semporna? Pergi terus ke pulau kalau kamu tidak mahu melihat tempat ini di pekan,” katanya dalam tulisannya di Facebook beliau dengan merujuk kepada hamparan sampah terapung di laut.
Chu, 41, dari Kota Kinabalu sering membawa pelancong dari negara lain sejak 2023 untuk merasai pengalaman menyelam di lokasi terkenal, khususnya Pulau Sipadan.

Beliau bagaimanapun merasa geram terhadap keadaan kebersihan yang semakin teruk di pekan Semporna.
“Semakin ramai manusia, semakin banyak sampah juga,” katanya.
Beliau yang juga ahli Sabah Diving Squad Club (DDC), berkata ramai penduduk yang tinggal di perkampungan atas air dan di pulau tiada akses terhadap kemudahan kutipan sampah.
“Orang sering bercakap mereka tidak dididik mengenai pengurusan buangan dan ia sebahagiannya benar.
“Mereka yang tiada dokumen tidak akan peduli mengenai alam sekitar kerana air minuman yang bersih pun sudah menjadi satu masalah kepada mereka.
“Tapi, isu utama ialah tiada tempat untuk membuang sampah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Sabah DDC, Yong Lip Khiong, berkata perairan di ibu negeri juga berdepan isu pencemaran yang sama, iaitu buangan domestik dengan botol plastik paling berleluasa.

“Malah ada botol plastik yang menjadi ‘rumah’ kepada hidupan marin. Plastik ini bukan saja mencemari lautan, tapi juga menyebabkan ancaman yang tidak dapat dipulihkan terhadap hidupan marin dan burung laut.
“Sekali lautan dicemari, kedua-dua hidupan marin dan manusia menjadi mangsa kepada pencemaran ini,” katanya.
Yong yang juga seorang divemaster, berkata sampah marin bukan saja tanggungjawab kerajaan tetapi juga tanggungjawab setiap warga negara.
“Kita boleh mulakan dengan mengurangkan penggunaan produk plastik, buat pengasingan dan kitar semula buangan serta mengelakkan membuang sampah merata-rata.
“Jika setiap orang bekerjasana, lautan akan menjadi bersih dan generasi masa depan akan dapat terus menikmati keindahannya,” katanya. – Info X