KOTA KINABALU: Dua individu termasuk seorang warga emas cedera akibat melecur selepas tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tebobon, Menggatal, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa lelaki berusia 60 tahun melecur pada bahagian tangan, kaki dan belakang badan, manakala seorang lagi mangsa wanita berusia 48 tahun dilaporkan cedera ringan selepas melecur pada tangan kanan dan kaki kiri.
Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.43 pagi sebelum anggota dan jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah sebelum operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan empat pancutan air daripada jentera dan pili bomba berhampiran.
“Ketiga-tiga rumah terbabit terbakar hampir 95 peratus. Dua mangsa dilaporkan cedera melecur dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.41 pagi, selain dua rumah berhampiran turut diselamatkan daripada terbakar.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
“Operasi pemadaman dan pemeriksaan keselamatan ditamatkan pada jam 8.30 pagi selepas lokasi disahkan selamat,” katanya. – Info X