BEAUFORT: Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Datuk Ruslan Muharam menyambung gelaran Janang Gayuh atau pemimpin besar masyarakat Bisaya yang sebelum ini dipegang Allahyarham Datuk Lajim Ukin.
Penganugerahan gelaran tertinggi bagi masyarakat Bisaya itu disampaikan kepada Ruslan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada satu majlis anjuran PBBS, di sini, malam Sabtu.
Majlis itu turut disaksikan Huguon Siou atau pemimpin agung masyarakat Kadazandusun, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih dan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching.
Mengulas penganugerahan itu, Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri menyifatkannya sebagai pengiktirafan besar terhadap sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada masyarakat Bisaya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan menyatakan rasa gembira dan bersyukur atas kepercayaan yang diberikan untuk memegang gelaran berkenaan.
Tegasnya, penganugerahan gelaran itu bukan dibuat secara automatik walaupun beliau memegang jawatan Presiden PBBS selama empat tahun sebelum ini.
“Seseorang tidak boleh terus dilantik sebagai Janang Gayuh tanpa melalui proses penilaian yang ditetapkan, iaitu berkhidmat sekurang-kurangnya satu penggal selama tiga tahun untuk dinilai oleh kepimpinan dan masyarakat Bisaya sendiri.
“Tempoh tiga tahun satu penggal itu menjadi asas penilaian terhadap khidmat, kepimpinan dan sumbangan kepada masyarakat. Penilaian itu dibuat oleh pemimpin Bisaya serta masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Katanya, selepas tempoh penilaian itu, perkara berkenaan dibawa untuk diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AMT) PBBS sebelum diperhalusi di peringkat Majlis Tertinggi (MT) persatuan berkenaan.
MT PBBS, katanya kemudian melantik sebuah panel khas bagi menilai secara terperinci pencalonan Janang Gayuh, termasuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan.
“Hanya selepas panel berpuas hati dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, barulah pelantikan Janang Gayuh ini direalisasikan, seperti yang kita saksikan hari ini,” katanya.
Gelaran Janang Gayuh sebelum ini disandang bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah dan bekas Presiden PBBS, Allahyarham Datuk Lajim Ukin yang meninggal dunia pada 29 Ogos 2021. – Info X