PENAMPANG: Lima lelaki diberkas dan pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah dirampas dalam satu serbuan polis di Putatan, semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, tangkapan dibuat hasil siasatan kes pecah rumah di sebuah rumah tidak berpenghuni yang sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian.
Menurutnya, nilai kerugian akibat kejadian itu dianggarkan kira-kira RM10,000.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah di Putatan sebelum berjaya menahan lima lelaki berusia antara 26 hingga 31 tahun.
“Polis turut merampas pelbagai barangan yang disyaki berkaitan dengan kes pecah rumah berkenaan serta dipercayai hasil kegiatan curi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan pecah rumah dan dadah.
“Saringan awal air kencing turut mendapati dua daripada suspek positif dadah.
“Semua suspek kini ditahan di lokap IPD Penampang dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata polis komited meneruskan usaha membanteras jenayah harta benda dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan keselamatan premis serta harta benda, khususnya rumah yang tidak berpenghuni.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X