TAMPARULI: Seramai 10 individu termasuk sembilan pelancong warga China cedera ringan selepas sebuah bas persiaran terbabas dan terjatuh ke dalam longkang di Jalan Minangkob, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, bas persiaran yang membawa 10 orang termasuk pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
Semua mangsa bagaimanapun berjaya keluar sendiri dari kenderaan dengan bantuan orang awam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba, Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.36 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, sebuah bas persiaran didapati berada di dalam longkang selepas terbabas.
“Semua mangsa dilaporkan cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan seorang pemandu lelaki berusia 24 tahun, warga tempatan serta sembilan penumpang warga China terdiri daripada lima lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.
“Kes berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi pemantauan dan pemeriksaan keselamatan ditamatkan pada jam 9.20 pagi selepas lokasi disahkan selamat,” katanya. – Info X