Search

Durian merah berpotensi sebagai produk makanan baharu – Masiung

February 8, 2026

Info X Reporters

TONGOD: Durian merah, buah eksotik tropika yang popular di daerah ini berpotensi diketengahkan sebagai produk baharu makanan di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, sehubungan itu mencadangkan agar kajian dibuat bagi menghasilkan varieti yang berkualiti dan pokok lebih rendah.

Beliau mencadangkan perkara itu kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI) sebagai satu inisiatif bagi mengembangkan penanaman durian berkenaan.

“Saya optimis teknologi agronomi moden mampu menghasilkan bibit durian merah yang bermutu tinggi dengan saiz pokok lebah rendang dan rendah berbanding tanaman tradisional sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kelazatan isi durian merah bukan saja menjadi makanan tradisi masyarakat orang Sungai di Tongod, Kinabatangan, Telupid dan Beluran tetapi juga menjadi buruan pencinta rasa di Sabah dan Sarawak.

Durian merah.

Katanya, isi durian merah kebiasannya ditumis sambil ditambah sedikit perisa untuk dijadikan ‘sambal’ dan ia adalah menu paling popular di daerah ini selain berpotensi menembusi pasaran makanan di rantau Asia.

Pengerusi Kumpulan SEDCO itu mengesa MAFFI menjalankan kajian varieti cantuman agronomi baharu bagi menghasilkan bibit yang rendang sekali gus dipromosikan sebagai tanaman domestik dalam industri pertanian di Sabah.

Datuk Masiung Banah.

Masiung yakin menteri MAFFI, Datuk Jamawi Jaafar, yang berpengalaman luas dalam industri pertanian berasaskan durian mampu mengetengahkan varieti durian merah sebagai tanaman moden.

“Apabila durian merah menjadi tanaman utama di negeri ini, pengeluaran buah eksotik itu akan bertambah sekali gus pasarannya semakin meluas,” katanya.

Jelasnya, tanaman warisan yang menjadi makanan kegemaran tradisi masyarakat Sungai itu adalah tanaman bermusim.

“Uniknya buah durian merah tidak akan luruh walaupun buahnya sudah matang.

“Pokoknya yang bersaiz besar dan tinggi terpaksa menggunakan khidmat penduduk yang mahir memanjat untuk memetik buahnya,” katanya.

Masiung berkata, keenakan durian merah rasa lemak manis, kandungan gula rendah dengan hasil tinggi sehingga 200 biji sepokok, berpotensi besar sebagai produk agro pelancongan baharu yang unik. – Info X