KOTA KINABALU: Sabah FC membawa bekalan agak selesa untuk ke aksi kedua Piala Cabaran selepas menundukkan PDRM FC 2-0 pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Likas, malam ini.
Jaringan pembukaan tuan rumah terhasil pada minit ke-53 hasil sepakan bola tinggi oleh pemain pertahanan Sabah, Dane James Ingham yang tanpa diduga jatuh ke dalam gawang pasukan lawan.
Ia kemudian disusuli gol kedua oleh Fergus Tierney setelah bola terlepas dari tangan penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun ketika berlaku kekecohan di depan gawang pada minit ke-57.
Gol Tierney itu terhasil setelah empat atau lima cubaan hampir menjaringkan gol dilakukannya sepanjang babak pertama perlawanan dan awal separuh masa kedua.
Skuad Sang Badak sebelum itu berusaha mendapatkan gol pembukaan bermula pada pertengahan minit babak pertama selepas mendapat rentak yang baik menentang pasukan lawan.
PDRM pada awalnya kelihatan berbahaya buat Sabah apabila tampil dengan serangan berbahaya sejak minit pertama sebelum tuan rumah dapat membaca gerakan dan mula mengatur serangan balas.
Tuan rumah juga hampir menambah jaringan ketiga setelah diberi sepakan penalti pada minit ke-73 apabila penyerangnya, Darren Lok dijatuhkan pemain tengah PDRM, Muhammad Fakhrul Azim di kawasan kotak penalti.
Bagaimanapun, sepakan penalti yang dilakukan Darren sendiri itu dapat ditampan penjaga gol PDRM menyebabkan skuad Sang Badak gagal untuk menambah satu lagi jaringan.
Cubaan kedua-dua pasukan untuk menghasilkan gol selepas itu buntu, sekali gus membolehkan Sabah membawa bekalan agak selesa ke perlawanan suku akhir kedua nanti di Stadium Selayang, Selangor pada 15 Februari ini. – Info X