Search

Mendiang Simon penjawat awam berwibawa, tokoh dihormati – Hajiji

February 8, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Simon Sipaun yang dilaporkan meninggal dunia pada Ahad sebagai seorang penjawat awam yang berwibawa.

Beliau berkata, mendiang berkhidmat sebagai sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dari 1988 hingga 1993 sebelum terus menyumbang kepada negara sebagai Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dari tahun 2003 hingga 2010.

Sambil merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas pemergian mendiang, Hajiji berkata keberanian Simon dalam isu demokrasi, tadbir urus dan kebebasan sivil serta komitmen berterusan memperjuangkan hak-hak Sabah termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 menjadikan beliau tokoh yang dihormati bukan saja di Sabah malah di seluruh negara.

“Sebagai antara anak Sabah terawal yang menerima biasiswa Colombo Plan dan alumni Victoria University of Wellington, sumbangan serta kepimpinan beliau telah meninggalkan legasi yang besar dalam perkhidmatan awam dan pembangunan negeri Sabah.

“Seluruh Kerajaan Negeri Sabah turut bersimpati atas pemergian mendiang dan merakamkan penghargaan atas segala jasa, bakti dan sumbangan beliau kepada negeri Sabah.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang sukar ini,” katanya dalam perkongsian di Facebook beliau.

Terdahulu, mendiang dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan di sebuah hospital swasta, di sini, pada pagi Ahad. – Info X