Search

Pukul lelaki dengan batang besi, tiga sekawan ditahan polis

February 9, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan tiga lelaki menyerang seorang individu di sebuah kedai peralatan rumah dan elektrik di Jalan Chong Thien Vun, di sini, semalam membawa padah apabila semua mereka diberkas polis selepas mangsa membuat laporan berhubung kejadian berkenaan.

Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa didatangi seorang lelaki yang dikenalinya bersama dua lagi rakan sebelum dipukul secara tiba-tiba menggunakan batang besi hingga menyebabkan kesakitan dan trauma.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan polis yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau berjaya mengesan seorang lelaki tempatan berusia kira-kira 25 tahun.

“Suspek terbabit ditahan di kawasan Lorong Perdana Jaya 5 bagi untuk siasatan lanjut.

“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas batang besi dan sebilah pisau pemotong yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi suspek lelaki berusia antara 34 hingga 36 tahun bagi membantu siasatan.

“Semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X