KUNDASANG: Korporasi Pembangunan Desa (KPD) mengeluarkan kira-kira 800,000 unit pelbagai jenis cendawan setahun menerusi pusat penanamannya di Kampung Mesilou, di sini.
Kapasiti itu dimaklumkan kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar ketika lawatannya ke beberapa projek KPD dan Jabatan Pertanian di kawasan tanah tinggi ini pada Ahad.
Jamawi dimaklumkan cendawan dikeluarkan KPD merangkumi jenis Black Jelly, Tiram dan Shiitake untuk makanan serta cendawan Ling Zhi bagi tujuan perubatan.
Taklimat disampaikan Pengurus Besar (Operasi) KPD, Andree Funk ketika lawatan Jamawi ke kilang pemprosesan dan tapak penanaman cendawan milik KPD di Kampung Mesilou.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong dan Pengarah Urusan KPD, Jailis Masarip serta beberapa lagi Pegawai KPD dan MAFFI.
Jamawi turut melawat aktiviti dijalankan Jabatan Pertanian di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Mesilou, termasuk Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) Kundasang.
Di TKPM Mesilou, Jamawi meninjau 91 rumah perlindungan hujan yang digunakan belia tempatan untuk penanaman tomato, cili dan tanaman lain dengan kadar sewaan rendah.
Mengulas mengenai fasiliti itu, Jamawi berkata pihaknya akan berusaha mendapatkan peruntukan bagi menambah bilangan rumah perlindungan hujan pada masa akan datang.
“Ini komitmen Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) untuk memastikan peluang disediakan kepada belia yang tidak memiliki tanah tetapi berminat dalam bidang pertanian. TKPM juga terdapat di Tawau, Sook, Keningau dan beberapa lokasi lain,” katanya.
Pada lawatan itu, Jamawi turut bertemu dengan Shahrizal Denci yang mengusahakan penanaman bawang di atas tanah KPD seluas 40 ekar secara sewaan.
Jamawi berkata, Shahrizal juga terlibat dalam program mentor-mentee di bawah Inisiatif Kebun Dapur dan akan berkongsi pengetahuan serta pengalaman dengan golongan muda yang berminat dalam penanaman bawang. – Info X