Search

Dua maut pacuan empat roda terbabas dekat Dewan Hakka

February 9, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua individu maut manakala beberapa yang lain cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pokok dan masuk ke dalam parit di Jalan Signal Hill Park berhampiran Dewan Hakka, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.50 malam itu, lelaki berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang wanita berusia 33 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit sedang bergerak dari arah sebuah kawasan kediaman menuju ke Likas.

“Kenderaan dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan selekoh sebelum terbabas, melanggar pokok dan seterusnya masuk ke dalam parit di lokasi kejadian.

“Akibat kemalangan itu, dua penumpang disahkan meninggal dunia, seorang di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, beberapa individu lain termasuk pemandu kenderaan mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I dan II.

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Polis sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian termasuk pemeriksaan ke atas kenderaan terlibat serta dokumentasi tempat kejadian.

“Kenderaan terbabit ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta memandu dengan berhemah, terutama di kawasan jalan selekoh dan pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu atau Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222,” katanya. – Info X