KOTA KINABALU: Piala Cabaran 2026 yang bermula malam tadi menjadi gelanggang untuk memantapkan semula kedudukan Sabah FC selepas perpindahan beberapa pemain dan kemasukan pemain import baharu.
Pengendali sementaranya, Alto Linus, mengakui pemain baharu Sang Badak kini dalam proses menyesuaikan diri dengan suasana baharu, selain mendapatkan keserasian bersama pasukan kendaliannya.
“Secara keseluruhannya kalau kita lihat mereka cuba mengadaptasi keadaan di sini. Kita tahu bukan mudah untuk mengadaptasi apabila mereka datang dari negara yang berbeza suasananya dengan kita.
“Ini yang kita lihat dan kita harus membantu mereka untuk segera mengadaptasi terutama sekali cuaca dan masa di sini. Sebab kita faham mana-mana pemain import selalunya berdepan kesukaran apabila mereka datang sini.

“Tapi, dari segi permainan kita lihat mereka sangat bekerja keras untuk membantu kita mendapatkan sesuatu di sini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan suku akhir pertama Piala Cabaran. menentang PDRM FC di Stadiuam Likas, malam tadi.
Sabah membawa masuk lima pemain import baharu menerusi jendela perpindahan kedua MFL musim ini bagi menambah kekuatan dan menggantikan pemain yang berpindah.
Mereka ialah penyerang dari Perancis, Chris Marlon Ondong Mba; pemain tengah dari Croatia, Duje Ljubic; pemain pertahanan dari Thailand, Ernesto Amantegui Phumipha; seorang lagi pemain serangan dari Haiti, Kervens Fils Belfort dan pemain pertahanan berasal dari Sepanyol, Jose Angel Alonso.
Pemain Sang Badak yang berpindah sebelum ini pula ialah Daniel Ting yang menyertai kelab dalam Liga Thailand, diikuti Stuart John Wilkin yang kembali ke Johor Darul Ta’zim (JDT) dan penyerang import dari Bosnia, Ajdin Mujagic yang turut menyertai JDT.
Tonggak baharu Sabah yang pertama kali turun beraksi bersama skuad Sang Badak malam tadi antara yang membantu pasukan menundukkan PDRM FC 2-0, sebelum ke perlawanan kedua Piala Cabaran nanti.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Alto menyifatkan aksi menentang PDRM bermula agak sukar berikutan ketiadaan perlawanan membabitkan Sabah FC selama hampir dua minggu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan corak permainan anak buahnya kurang menyerlah pada awal babak pertama, namun berjaya ditambah baik hingga akhirnya mendapat dua jaringan kemenangan pada separuh masa kedua.
“Secara keseluruhannya apabila kita lihat pada masa pertama di mana kita tidak bermula begitu baik. Kredit kita berikan kepada pasukan PDRM yang dapat bertahan dengan baik pada masa pertama.
“Tapi, apa yang kita lihat pada perlawanan itu kita cuba perbaiki dan sekali gus kita dapat menjaringkan dua gol,” katanya.
Gol pembukaan Sang Badak dijaringkan pada minit ke-53 hasil sepakan bola tinggi pemain pertahanannya, Dane James Ingham, disusuli gol kedua oleh Fergus Tierney setelah bola terlepas dari tangan penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun ketika berlaku kekecohan di depan gawang pada minit ke-57.
Sabah akan bertandang ke Stadium Selayang, Selangor pada aksi timbal balas suku akhir kedua Piala Cabaran menentang PDRM pada 15 Februari ini. – Info X