KOTA KINABALU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini digesa menyediakan surau sementara di setiap Bazar Ramadan di kawasan masing-masing sepanjang Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Gesaan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan bagi memberi kemudahan kepada umat Islam yang berniaga atau berkunjung ke Bazar Ramadan.
“Saya menyeru kepada semua PBT di Sabah agar menyediakan surau sementara atau ruang solat yang sesuai di setiap tapak Bazar Ramadan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
“Bazar Ramadan bukan sekadar ruang ekonomi, tetapi juga medan menghidupkan syiar Islam. Dalam kesibukan peniaga mencari rezeki dan orang ramai membeli juadah berbuka, kewajipan solat tidak boleh diketepikan.
“Kemudahan surau yang berdekatan akan membantu peniaga dan pengunjung menunaikan perintah Allah dengan mudah, teratur dan selesa.
“Dengan adanya ruang solat, mereka tidak perlu lagi tergesa-gesa meninggalkan tapak bazar atau berkejar mencari masjid dan surau yang jauh,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pesuruhjaya PAS Sabah itu berkata, apabila urusan ibadah dipermudahkan, peniaga juga dapat menguruskan perniagaan dengan lebih lancar tanpa kekangan masa.

“Insya-Allah, rezeki yang diperoleh akan menjadi lebih berkat. Saya berharap semua pihak, termasuk penganjur dan agensi berkaitan, dapat memberi perhatian serius terhadap perkara ini supaya bazar Ramadan di negeri kita bukan saja meriah, malah dipenuhi nilai takwa serta menjadi contoh pengurusan yang mesra ibadah.
“Negeri yang diberkati bukan diukur pada ramainya manusia berniaga, tetapi pada ramainya manusia yang taat kepada perintah Tuhan,” katanya.
Umat Islam dijangka menunaikan ibadah puasa selama sebulan sempena Ramadan bermula pada 18 atau 19 Februari ini. – Info X