Search

KDCA Youth Council, KupiKupi FM jayakan program kebajikan warga emas

February 9, 2026

Info X Reporters

KINARUT: Keprihatinan terhadap kebajikan warga emas dizahirkan menerusi program kerja amal bertemakan ‘Hands that Give, Hearts that Remember’ anjuran KDCA Youth Council (KYC) dengan kerjasama KupiKupi FM dan Info X di Rumah Warga Orang Tua Sri Pritchard, di sini, pada Sabtu.KDCA Youth Council (KYC) dengan kerjasama KupiKupi FM dan Info X di Rumah Warga Orang Tua Sri Pritchard, di sini, pada Sabtu.

Program berkenaan diketuai Naib Pengerusi KYC, Jessica Julius dan turut dihadiri Pengerusi KYC, Steve Mositun, bersama barisan sukarelawan serta rakan kolaborasi.

Jessica berkata, program itu bukan sekadar menyampaikan sumbangan, sebaliknya menjadi platform mendekatkan golongan belia dengan warga emas yang memerlukan perhatian dan kasih sayang.

Jessica dan Lester menyantuni warga emas dalam program kerja amal bertemakan “Hands that Give, Hearts that Remember” di Rumah Warga Emas Sri Pritchard, Kinarut.

“Kami mahu anak muda memahami bahawa warga emas adalah sebahagian penting dalam masyarakat yang perlu dihargai dan diraikan, bukan dilupakan,” katanya.

Menurutnya, pengalaman berinteraksi secara langsung dengan penghuni rumah warga emas itu memberi kesan mendalam kepada semua sukarelawan yang terlibat.

“Mendengar kisah kehidupan mereka membuka mata kami tentang erti kesabaran, pengorbanan dan kekuatan jiwa. Ia satu pengalaman yang sangat bermakna dan menyentuh hati,” katanya.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara konsisten dan melibatkan lebih ramai belia pada masa akan datang.

Warga emas menyertai program kerja amal bertemakan “Hands that Give, Hearts that Remember” di Rumah Warga Emas Sri Pritchard, Kinarut.

“Kami di KDCA Youth Council komited untuk terus menjalankan program kebajikan yang menyemai nilai kemanusiaan, empati dan perpaduan dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KupiKupi FM Sabah, Lester Calvin Miol berkata, penganjuran program itu bertujuan menyemai nilai kasih sayang, hormat dan rasa prihatin terhadap golongan warga emas melalui sumbangan serta aktiviti kebajikan.

Menurutnya, meskipun program berlangsung dalam suasana ceria, sesi interaksi bersama penghuni turut menyentuh perasaan apabila pelbagai kisah kehidupan dikongsikan.

Kru KDCA Youth Council (KYC), dengan kerjasama KupiKupi FM dan Info X, menyediakan sumbangan kepada warga emas di Rumah Warga Emas Sri Pritchard, Kinarut.

“Kisah – kisah ini mengingatkan kita betapa rapuhnya usia dan pentingnya nilai kemanusiaan dalam masyarakat.

“Inisiatif ini adalah cara kami memberi kembali kepada komuniti sebagai tanda kasih, hormat dan belas ihsan kepada warga Sri Pritchard. Kami mahu mereka tahu bahawa mereka tidak pernah dilupakan,” katanya.

Beliau berkata, KupiKupi FM bersama Info X merakamkan setinggi – tinggi penghargaan kepada semua penderma, rakan kerjasama serta KDCA Youth Council atas kejayaan penganjuran program berkenaan dan menegaskan komitmen untuk meneruskan usaha kebajikan seumpama itu pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Pengerusi Penganjur program, Travis Jingulam turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program khidmat masyarakat berkenaan sehingga berlangsung dengan lancar dan penuh makna.

Kru KupiKupi FM yang menyertai program berkenaan.

“Penghargaan kepada KDCA Youth Council selaku penganjur serta KupiKupi FM dan Info X atas sokongan padu.

“Terima kasih juga kepada semua penyumbang dan sukarelawan yang menyumbang masa, tenaga, kewangan serta barangan keperluan. Setiap sumbangan, sama ada besar atau kecil, membawa kegembiraan dan senyuman kepada para penghuni,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan penghuni Rumah Warga Orang Tua Sri Pritchard atas sambutan mesra yang diberikan.

“Semoga program ini menjadi inspirasi untuk kita terus berbakti kepada masyarakat dengan penuh kasih sayang dan semangat perpaduan,” katanya. – Info X