KOTA MARUDU: Dua lelaki dipenjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan, masing-masing mencuri tong gas dan beras pada Januari lalu.
Tertuduh, Masli Asang, 29 dan Mohd Azuan Galpun, 30 membuat pengakuan itu selepas didakwa di Mahkamah Litar Kota Marudu, di sini, pada Selasa.
Mereka masing-masing dipenjara setahun atas kesalahan mencuri 10 unit tong gas dan dua tahun penjara bagi kesalahan mencuri lima kampit beras.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, A Akhiruddin Acho.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu dibuat secara berasingan.
Sementara itu, seorang lagi rakan mereka, Mohd Arif Jamal, 30, dipenjara setahun kerana terbabit mencuri tong gas.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Insp Seanhilary Miting Pakoi.
Berdasarkan fakta kes, ketiga-tiga tertuduh sebelum ini diberkas polis pada 30 Januari lalu bersabit laporan polis mengenai kejadian kecurian tong gas dan beras di dua kedai runcit, di sini, pada 14 dan 28 Januari lalu.
Pihak polis turut merampas sebuah kereta Perodua Axia, tujuh unit tong gas dan lima kampit beras bersabit kejadian itu.
Berikutan itu, polis membuka dua kertas siasatan untuk dilengkapkan sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dan ketiga-tiga suspek kemudiannya dituduh di mahkamah pada 10 Februari.
Selain dua kes itu, ketiga-tiga suspek turut didakwa memiliki dan menggunakan dadah serta wang palsu, namun polis mengesahkan siasatan masih dijalankan. – Info X