KOTA KINABALU: Kupikupi FM diumumkan sebagai radio rasmi bagi penganjuran Lampoopalooza 2026 yang akan bermula esok, 14 Februari, di Gaya Street, di sini.
Acara seni cahaya berskala besar itu dijadual berlangsung bermula jam 5 petang hingga 11 malam, bertempat di Bangunan Lembaga Pelancongan Sabah.

Lampoopalooza 2026 dijangka menjadi tumpuan warga kota dan pelancong apabila menampilkan instalasi seni bercahaya setinggi 15 kaki yang bakal mencuri perhatian pengunjung.
Selain itu, bangunan bersejarah Lembaga Pelancongan Sabah akan ‘dihidupkan’ menerusi persembahan pemetaan video berskala besar atau projection mapping yang dipancarkan ke seluruh fasad bangunan berkenaan.
Penganjuran acara itu turut dimeriahkan dengan konsert terbuka secara percuma sepanjang malam, menampilkan artis-artis berbakat dari Sabah.

Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai pilihan trak makanan dan gerai jualan di sepanjang Gaya Street bagi menambah kemeriahan suasana.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi menyaksikan sendiri keunikan Lampoopalooza 2026 yang dijangka menerangi pusat bandar raya dengan limpahan cahaya dan kreativiti. – Info X