KOTA KINABALU: Sabah memerlukan lebih banyak penulisan atau karya sejarah berkaitan apa yang pernah berlaku di negeri ini supaya rakyat memahami dengan lebih jelas perkara itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penulisan mengenai peristiwa penting pada masa lalu juga penting, khususnya ketika isu besar seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerap dibincangkan.
“Masih banyak peristiwa lampau yang perlu difahami dengan lebih jelas, kerana kesan peristiwa-peristiwa itu masih dirasai hingga ke hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran buku ‘Apa Yang Rakyat Sabah Harus Tahu’ berdasarkan perspektif wartawan terkemuka Sabah, Allahyarham Datuk Mohd Fauzi Patel.
Ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai di Perpustakaan Negeri Sabah, di sini, pada Sabtu.
Buku itu memuatkan pandangan, pemerhatian dan catatan Allahyarham Fauzi Patel mengenai pelbagai isu dan kontroversi yang melibatkan Sabah, sebelum dan selepas pembentukan Malaysia.
Fauzi menjadi wartawan sepenuh masa pertama Sabah pada 1954, ketika negeri ini masih dikenali sebagai Borneo Utara British dan pernah beliau berkhidmat dengan Sabah Times, Sabah Times – North Borneo News, Kinabalu Times dan Kinabalu Sabah Times, selain turut menulis ruangan Ahad untuk Daily Express.
Hajiji menyifatkan buku ‘Apa Yang Rakyat Sabah Harus Tahu’ menawarkan pemahaman yang bernilai mengenai sejarah politik Sabah dari perspektif Fauzi Patel.
“Saya percaya penulisan buku sejarah adalah suatu usaha yang amat bernilai kerana ia membolehkan kita melihat peristiwa daripada pelbagai perspektif dan menyediakan konteks yang diperlukan untuk mentafsir pemerhatian kita.
“Oleh itu, buku ini tepat pada masanya kerana menawarkan perspektif yang dituturkan oleh Allahyarham Datuk Mohd Fauzi Patel, seorang tokoh kewartawanan yang terkenal dalam sejarah Sabah.
“Tajuk buku ini dengan sendirinya mengajak kita berfikir secara kritis. Ia menyarankan bahawa masih banyak aspek sejarah politik Sabah yang belum difahami sepenuhnya oleh orang ramai dan menekankan keperluan untuk dokumentasi yang lebih menyeluruh serta wacana awam yang lebih meluas,” katanya.
Beliau juga yakin buku itu akan menjadi rujukan penting, sama ada sebagai bacaan tambahan atau sebagai perspektif alternatif mengenai sejarah politik Sabah. – Info X