Search

RM559.85 juta untuk tingkat keterjaminan makanan, tahap sara diri di Sabah – KM

February 15, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Kerajaan negeri memperuntukkan RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) negeri bagi meningkatkan keterjaminan makanan dan tahap sara siri (SSL) tanaman makanan pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bahawa di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), sektor pertanian kekal sebagai salah satu daripada tiga tonggak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan keterjakinan makanan kekal kukuh. Seperti yang kita sedia maklum, isu keterjaminan makanan menjadi agenda utama di peringkat global dan nasional.

“Namun, perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos sara hidup memerlukan pendekatan baharu yang lebih praktikal, berdaya tahan dan inklusif.

“Oleh itu, sektor pertanian, perikanan dan industri makanan akan terus menjadi nadi kepada pembangunan sosio ekonomi Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat, di sini pada Ahad.

Ketua Menteri berkata beberapa inisiatif sedang dilaksanakan Jabatan Pertanian Sabah, sebagai agensi utama bertanggungjawab terhadap pembangunan sub sektor tanaman.

“Antaranya Pembangunan Zon Pengeluaran Tanaman Makanan Kekal di 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di negeri ini.

“Selain itu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM15 juta lagi untuk perolehan jentera menuai dan pembajakan padi.

“Inisiatif ini adalah untuk menjadikan Sabah sebagai pengeluar padi dan beras yang mampan serta berdaya saing untuk menjamin sekuriti makanan dengan sasaran 60 peratus SSL menjelang 2030,” katanya.

Hajiji yakin tiga tonggak pembangunan ekonomi negeri iaitu perindustrian, pertanian dan pelancongan akan meningkat dalam tempoh lima tahun di bawah Hala Tuju SMJ 2.0.

Namun, beliau berkata keterjaminan makanan bukanlah tanggungjawab ladang -ladang atau projek berskala besar semata-mata.

“Ia juga bermula di peringkat akar umbi iaitu di laman rumah kita sendiri dan dalam konteks ini, inisiatif Kebun Dapur di bawah program Revolusi Ekonomi Luar Bandar adalah salah satu strategi yang bukan saja berfokus kepada pengeluaran makanan, tetapi turut menekankan aspek pengurangan kos sara hidup serta pembentukan komuniti yang lebih berdikari dan mampan,” katanya.

Jelajah Kebun Dapur, yang akan dilaksanakan di seluruh Sabah, bertujuan memastikan inisiatif itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat, termasuk mereka di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

“Oleh itu, saya mahu melihat Tuaran muncul sebagai ‘Daerah Kebun Dapur Model’, di mana inisiatif ini bukan saja dilaksanakan, tetapi benar-benar menjadi sebahagian daripada cara hidup komuniti.

“Saya berharap setiap kampung, kawasan perumahan dan komuniti akan mengambil peluang ini untuk mengusahakan kebun dapur mengikut kemampuan dan kreativiti masing-masing,” katanya.

Hajiji berkata Jelajah Kebun Dapur mengguna pakai pendekatan mentor–mentee, di mana usahawan yang berjaya dan berpengalaman akan membimbing serta menasihati komuniti setempat.

“Pendekatan ini bukan saja memastikan pemindahan pengetahuan dan amalan terbaik secara berterusan, tetapi juga memperkukuh pelaksanaan di peringkat akar umbi serta membina rangkaian sokongan berasaskan komuniti,” katanya.

Beliau juga menggesa golongan belia di negeri ini, khususnya di Tuaran, supaya merebut peluang yang ditawarkan melalui siri jelajah itu untuk mempelajari teknik pertanian pintar yang menggabungkan inovasi dan teknologi, yang dapat menjana pendapatan tambahan. – Info X