Search

Masyarakat Cina rakan strategik kerajaan bangunkan negeri – KM

February 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengajak masyarakat Cina di negeri ini untuk menjadi rakan strategik pembangunan ke arah membina Sabah yang berdaya maju.

Dalam perutusannya sempena Tahun Baharu Cina 2026, beliau menggesa masyarakat Cina agar menjadi rakan kemajuan dan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam membangunkan Sabah.

Katanya, aspirasi Kerajaan Negeri adalah untuk terus memperkasa Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi memacu pertumbuhan ekonomi, modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Melalui SMJ 2.0, kita memastikan kemajuan ini bersifat inklusif untuk semua dan kemakmuran negeri dinikmati secara inklusif tanpa mengira kaum dan latar belakang rakyat kerana perpaduan adalah kunci utama kestabilan dan kemakmuran negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata Tahun Baharu Cina yang melambangkan nilai kekeluargaan, perpaduan dan harapan baharu bukan sekadar mencerminkan kekayaan warisan budaya masyarakat Tionghua, malah menjadi wadah yang memperkukuh keharmonian dan semangat kebersamaan rakyat berbilang kaum di Sabah.

“Tahun 2026 yang disambut sebagai Tahun Kuda Api membawa simbol tenaga, keberanian dan inovasi.

“Semangat ini menjadi inspirasi untuk kita terus melangkah maju dengan perancangan tersusun dan kerjasama erat demi pembangunan Sabah yang mampan dan seimbang.

“Saya ucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai kepada masyarakat Tionghua di Sabah khususnya dan di seluruh negara amnya,” katanya. – Info X