KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas cuba merasuah pegawai polis RM650 bagi melepaskan diri selepas didapati memandu tanpa lesen.
Menurut sumber, suspek berusia 38 tahun yang juga pemegang pas IMM13 terbabit ditahan di pejabat SPRM Sabah, kira-kira jam 5.30 petang tadi.
Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai buruh kini ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut.
“Tangkapan ini adalah hasil kerjasama dengan pihak polis dalam usaha kami untuk memerangi rasuah,” katanya.
Karunanithy turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memberikan sebarang sogokan kepada mana-mana anggota penguatkuasa atau penjawat awam kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – Info X