Search

MANGSA TERAKHIR KES REMAJA HANYUT DI PENAMPANG DITEMUI

June 20, 2022

admin

PENAMPANG: Mangsa kedua yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Pogunon, di sini, ditemui mati lemas, pagi tadi.

Mangsa, Tomansi Olaf, 17, ditemui kira-kira jam 11.04 pagi di Sungai Moyog, dekat sini, oleh pasukan bomba yang melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak tiga hari lalu.

Jurucakap bomba Sabah berkata, mangsa ditemui kira-kira 300 meter dari pos kawalan kedua yang dibuka oleh pihaknya untuk operasi pencarian.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selajutnya dan operasi ditamatkan pada jam 11.15 pagi.

“Selain bomba, turut menyertai operasi hari ini ialah pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, seorang lagi rakan mangsa iaitu Harold Walter, 17, ditemui mati lemas oleh penduduk kampung kira-kira jam 2.45 petang semalam.

Dalam tragedi pada Sabtu kira-kira jam 3 petang itu, kedua-dua mangsa dikatakan bersama empat lagi rakan mereka cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Bagaimanapun, ketika empat rakan mereka sudah menyeberangi sungai berkenaan, kepala air tiba-tiba meluncur deras sehingga mengakibatkan paras air naik mendadak dan menghanyutkan dua remaja terbabit. – Info X