KOTA KINABALU: pengumuman perdana menteri mengenai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang dinaikkan RM100 bagi golongan B40 tidak mencukupi selain meminggirkan golongan B40 yang “baharu”.
Ahli Parlimen DAP Teo Nie Ching berkata, selepas pandemik Covid-19 melanda negara, kira-kira 20 peratus golongan M20 telah terjejas pendapatan mereka dan menjadi B40.
“Golongan B40 sepatutnya kini dipanggil B60 kerana pandemik Covid-19 telah mengakibatkan golongan pertengahan atau M20 hilang pendapat dan hampir separuh menjadi kategori B40.
“Jadi kumpulan ini (golongan M20 yang menjadi B40) telah dipinggirkan oleh kerajaan untuk turut mendapat BKM ini.
“Selain itu, kenaikan RM100 itu juga tidak mencukupi kerana kenaikan harga seperti ayam, telur ayam dan minyak masak adalah keperluan harian mereka, ini yang dimasak oleh mereka hampir setiap hari,” katanya dalam sidamg media di ibu pejabat DAP Sabah, di Damai, dekat sini, hari ini.
Sementara itu, Teo yang juga ahli parlimen Kulai berkata, tindakan kerajaan yang menarik semula subsidi untuk beberapa barangan dalam satu masa adalah tidak bertanggungjawab.
“Sebelum pengumuman oleh perdana menteri, kepimpinan Pakatan Harapan (PH) telah berbincang dan mahu melihat apa tindakan seterusnya kerajaan selepas penarikan semula subsidi beberapa barangan.
“Apa tindakan seterusnya akan ditentukan oleh pimpinan PH selepas mengadakan perbincangan tetapi apa yang kami ingin tegaskan ialah penarikan semua subsidi banyak barangan dalam satu masa adalah tindakan melulu.
“Kami juga berpendapat pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai BKM juga tidak mencukupi, ini pastinya akan mengakibatkan inflasi yang lebih teruk termasuk di Sabah yang saya jangkakan lebih teruk berbanding di semenanjung,” katanya.
Terdahulu, Ismail mengumumkan kenaikan jumlah bayaran BKM bagi golongan B40, iaitu RM100 untuk isi rumah dan RM50 kepada golongan bujang.
katanya, pertambahan peruntukan BKM berjumlah RM630 juta itu membabitkan 8.6 juta penerima.
Sebelum itu, kerajaan juga telah mengumumkan harga siling ayam, telur dan subsidi minyak dimansuhkan mulai 1 Julai. – Info X