Search

‘Runner’ diberkas, 115 karton rokok tidak bercukai dirampas

February 24, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing disyaki bertindak sebagai ‘runner’ diberkas bersama 115 karton rokok pelbagai jenis yang dipercayai tidak bercukai dalam serbuan di tepi Jalan Kampung Selamat, di sini, kelmarin.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Task Force Perisikan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak hasil maklumat risikan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Batalion 22 PGA Kunak dalam kenyataan menerusi laman rasmi Facebook malam tadi memaklumkan, pasukan menyerbu sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna hijau di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan rokok tidak bercukai yang disimpan di dalam bonet belakang serta di luar kenderaan terbabit.

“Lelaki warga asing berusia 25 tahun yang berada di lokasi terus ditahan bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

Suspek mengaku menerima upah RM100 daripada individu dikenali sebagai ‘Jais’ untuk membawa barangan berkenaan selain menjual rokok tidak bercukai secara kecil-kecilan di sekitar Kampung Selamat.

Turut dirampas sebuah Perodua Myvi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM51,400 membabitkan rokok dan kenderaan.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala suspek serta barang rampasan diserahkan kepada IPD Semporna untuk tindakan lanjut.

Risikan masih diteruskan bagi mengesan rangkaian yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai itu. – Info X