PAITAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9, Tangkarason, di sini, mengalami kerosakan teruk akibat banjir besar yang menenggelamkan bangunan sekolah terbabit, akhir minggu lalu.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib yang meninjau kerosakan dialami sekolah itu pada Isnin, berkata hampir 90 peratus kemudahan dan peralatan sekolah rosak.
Keadaan itu, katanya menjejaskan kelangsungan sesi persekolahan di sekolah terbabit dan tindakan segera perlu diambil bagi mengatasinya.
“Penilaian awal mendapati sekolah ini memerlukan dengan segera sebanyak 200 set meja dan kerusi murid, 30 set meja dan kerusi guru serta lima set meja dan kerusi untuk bahagian pentadbiran.
“Kemudahan pengajaran dan pembelajaran bagi sembilan kelas turut terjejas dan memerlukan whiteboard serta Smart TV baharu.
“Keseluruhan buku teks termasuk stor bekalan buku teks musnah, manakala 30 laptop dan lapan set komputer untuk kegunaan murid tidak lagi dapat digunakan,” katanya.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, berkata kerosakan turut membabitkan bilik pusat sumber, tandas dan bilik mesyuarat sekolah.

Katanya, sebanyak 10 tangki simpanan air juga dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus banjir.
“Situasi ini memerlukan tindakan segera dan penyelarasan yang pantas bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan akses pendidikan murid-murid.
“Sehubungan itu, saya menyeru Jabatan Pendidikan Negeri Sabah agar menyalurkan bantuan dengan kadar segera bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dan penggantian aset dilaksanakan secepat mungkin.
“Saya juga menggesa semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya memaklumkan dengan segera kepada pihak kementerian sekiranya berlaku kejadian seumpama ini di kawasan masing-masing agar tindakan awal dapat diambil dan bantuan dapat disalurkan tanpa kelewatan.
“Kelangsungan pendidikan anak-anak Sabah adalah tanggungjawab bersama dan mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Kerosakan dialami SK Bawang menjejaskan seramai 195 murid dan 20 guru.
Sementara itu, laporan Jabatan Pendidikan negeri menyatakan sebanyak 16 sekolah rendah di Paitan yang terletak di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran terjejas akibat banjir.

Jumlah itu membabitkan seramai 2,575 murid dan 252 guru.
Di Pitas, sebanyak lima sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah dikenal pasti terjejas akibat banjir membabitkan seramai 2,029 murid dan pelajar serta 187 guru.
Selain terjejas banjir, tiga sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Pitas tidak dapat beroperasi disebabkan terputus hubungan apabila laluan ditenggelami banjir.
Keadaan itu menjejaskan seramai 1,068 murid dan pelajar serta 84 guru.
Ends