Search

Resort simpan tenggiling untuk hidangan eksotik diserbu

February 24, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Tindakan sebuah resort pelancongan di daerah ini yang dipercayai menyimpan tenggiling untuk dijadikan hidangan eksotik kepada pelancong terbongkar selepas diserbu dalam Operasi Bersepadu Khazanah, semalam.

Operasi itu dijalankan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Cawangan Risik/Task Force Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak hasil maklumat risikan.

Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan seekor tenggiling (Manis javanica) hidup, iaitu spesies hidupan liar Dilindungi Sepenuhnya.

“Turut dirampas beberapa hidangan yang dipercayai melibatkan hidupan liar dilindungi.

“Beberapa individu turut diambil tindakan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hidangan yang disyaki hasil hidupan liar dilindung.

Beliau berkata, tenggiling disenaraikan sebagai spesies dilindungi sepenuhnya mengikut Jadual I enakmen berkenaan.

“Tiada sebarang lesen atau permit dikeluarkan kepada mana-mana individu atau premis, termasuk premis pelancongan, untuk memiliki, menyimpan, menjual atau menyediakannya sebagai hidangan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun,” katanya.

Mohd Soffian berkata, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti penyediaan hidupan liar dilindungi sebagai makanan eksotik kepada pelancong.

“Ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi yang bertanggungjawab.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan terhadap mana-mana premis pelancongan yang terbabit dalam jenayah hidupan liar,” tegasnya. – Info X